Gadis dibelasah, 'diculik' 11 jam

⊆ 3:04 AM by Azam | ˜ 0 comments »

Oleh SHAMARUDDIN SAIDIN
pengarang@utusan.com.my


Nor menunjukkan salinan laporan polis dalam keadaan matanya yang masih lebam, di Seremban, semalam.

SEREMBAN 21 Feb. - Akibat kecewa cintanya ditolak, seorang lelaki yang bekerja sebagai pembantu pejabat sanggup membelasah kerani wanita di tempat kerjanya selain melarikan mangsa selama 11 jam dari rumah sewanya di Paroi Jaya, di sini baru-baru ini.

Kejadian yang berlaku pada 16 Februari lalu itu mengakibatkan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Nor, 21, lebam di bahagian muka dan kepala selain terpaksa menerima rawatan di hospital.

Mangsa mendakwa, dia turut mengalami trauma selepas kejadian itu apabila dibelasah tanpa henti oleh lelaki itu, sepanjang dibawa menaiki kereta dari rumah sewanya ke kampung pembantu pejabat berkenaan di Tampin.

Nor yang bekerja sebagai kerani di sebuah agensi kerajaan di sini menceritakan pengalaman ngeri itu ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, insiden tersebut bermula apabila lelaki itu yang berusia 27 tahun datang ke rumah sewanya di Paroi Jaya kira-kira pukul 11.30 malam pada 16 Februari lalu menaiki sebuah kereta Proton Wira.

"Saya keluar untuk berjumpa dengannya yang ketika itu berdiri di luar pintu pagar. Tiba-tiba, dia terus menumbuk muka saya sehingga menyebabkan saya terjatuh.

"Selepas itu, saya cuba bangun dan sambil menangis bertanyakan kenapa dia memukul saya," katanya.

Menurut Nor, lelaki itu terus memarahinya kerana mendakwa dia telah menolak cinta lelaki itu sambil terus menumbuk mukanya beberapa kali lagi.

Dia berkata, dalam keadaan muka berlumuran darah, lelaki itu kemudian menarik dan menolaknya masuk ke dalam kereta sebelum dipaksa duduk di tempat letak kaki sebelah pemandu.

"Lelaki itu terus memecut keretanya ke lokasi yang saya tidak ketahui dan terus memarahi saya kerana menolak cintanya.

"Sambil menangis, saya merayu supaya dilepaskan tetapi tanpa sebarang belas kasihan lelaki itu terus menumbuk kepala saya bertubi-tubi sehingga tangan kanannya patah," ujarnya.

Kerana panik melihat mangsa yang semakin tidak bermaya, suspek kemudian membawa mangsa ke rumah keluarganya di Tampin kira-kira 80 kilometer dari sini.

Tambah Nor, apabila sampai ke rumah keluarga lelaki itu, suspek mengugut supaya dia memberitahu ibunya bahawa kecederaan yang dialami itu akibat kemalangan motosikal.

"Lelaki itu kemudian meminta saya masuk ke dalam sebuah bilik dan menyuruh saya berehat sementara dia tidur di ruang tamu.

"Pada pagi keesokan, ketika lelaki itu pergi ke hospital untuk merawat tangannya yang patah, saya terus melarikan diri dari rumah berkenaan," ujarnya.

Menurutnya, dia terpaksa bersembunyi di sebalik tembok yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah itu sebelum menghubungi rakannya untuk meminta bantuan.

"Kira-kira sejam kemudian, rakan saya datang menyelamatkan saya dan terus ke balai polis untuk membuat laporan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin yang mengesahkan kejadian itu memberitahu bahawa suspek sudah ditahan kelmarin.

Menurutnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.


Dua peragut dibelasah teruk

⊆ 4:55 PM by Azam | ˜ 0 comments »



Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my


Salah seorang daripada dua peragut yang berjaya ditangkap oleh penduduk Kampung Belimbing Pendek, Kedai Mulong, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. - UTUSAN/Rizalman Nor

KOTA BHARU 29 Nov. - Tindakan dua lelaki yang cuba meragut rantai leher seorang kanak-kanak perempuan akhirnya memakan diri sendiri apabila mereka dibelasah penduduk kampung yang melihat kejadian itu.

Dalam kejadian pukul 5.15 petang di Kampung Belimbing Pendek, Kedai Mulong semalam, salah seorang daripada peragut itu turut dibogelkan penduduk kampung yang berang dengan tindakan penjenayah itu yang dipercayai penagih dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, kedua-dua lelaki yang berusia lingkungan 20-an dan menaiki motosikal Yamaha LC cuba meragut rantai yang dipakai kanak-kanak perempuan terbabit tetapi disedari bapanya, Mohamed Jumain Mohamed.

"Salah seorang daripada mereka ditangkap oleh bapa mangsa sendiri manakala rakannya pula ditahan oleh penduduk kampung.

"Kedua-dua mereka kemudian dipukul oleh penduduk kampung sehingga tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II," katanya di sini hari ini.

Zaharuddin berkata, ketika ditahan kedua-dua mangsa tidak membawa pengenalan diri dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.

Sementara itu, Mohamed Jumain yang pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halamannya terkejut melihat dua pemuda berkenaan mendekati anaknya yang berada di tepi jalan berdekatan rumahnya.

"Ketika kejadian, anak perempuan saya yang berusia lima tahun menuju ke rumah datuknya untuk mengajaknya beraya di rumah bapa saudara.

"Semasa anak saya berjalan kaki, saya memerhatikannya dan ternampak dua pemuda menaiki motosikal menghampiri anak saya dan cuba meragut rantai lehernya," katanya.

Menurut Mohamed Jumain, dia kemudian segera berlari arah anaknya dan bergelut dengan pemuda berkenaan.

Penunggang motosikal itu, katanya, berjaya ditangkap namun pemboncengnya melarikan rantai tersebut ke kampung lain.


Wanita mualaf dirogol semasa cari bantuan

⊆ 4:20 PM by Azam | ˜ 0 comments »

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah dalam kesusahan kerana menunggu proses perceraian, seorang wanita Cina mualaf yang ingin mengadu nasib ke sebuah persatuan persendirian menjadi mangsa rogol pula.

Lebih kejam, mangsa yang berusia 28 tahun, bukan sahaja dirogol sebanyak dua kali malah turut dikurung dan dipukul oleh presiden persatuan Cina mualaf itu sendiri.

Kisah malang mangsa bermula pada 20 November lalu, apabila dia cuba meminta bantuan daripada persatuan itu untuk mendapatkannya pekerjaan.

Berikutan itu, mangsa bersama seorang anak perempuannya berusia lapan tahun telah pergi ke pejabat persatuan berkenaan di sebuah kondominium di Pandan Indah.

Mangsa memeluk Islam selepas berkahwin dengan lelaki Melayu sembilan tahun lalu namun kerana tiada lagi persefahaman, kedua-duanya kini dalam proses bercerai.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, suspek telah berjanji akan membantu wanita itu untuk mendapatkan pekerjaan dan memujuknya bermalam di rumahnya.

Katanya, suspek juga menasihatkan mangsa supaya tidak bimbang kerana kononnya ibunya berada di rumah.

"Mendengar penjelasan itu, mangsa yang tidak menyangka niat buruk di sebalik pujukan itu terus bersetuju untuk bermalam di rumah suspek," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

Sebanyak 14 ekor lembu disembelih yang kemudian diagih-agihkan kepada kira-kira 1,000 penduduk setempat dan anggota polis.

Abdul Jalil berkata, suspek kemudiannya bertindak ganas apabila mengurung dan memukul mangsa sebelum dijadikan tempat 'pemuas nafsu'.

Katanya, namun perbuatan suspek terbongkar pagi semalam apabila meninggalkan mangsa dan anaknya dalam keadaan rumahnya terkunci untuk ke masjid bagi mengerjakan solat sempena Hari Raya Aidiladha.

"Mangsa mengambil kesempatan itu untuk menjerit meminta tolong daripada jiran-jiran. Melihat keadaan mangsa itu salah seorang daripada mereka menghubungi polis.

"Polis kemudian memecah masuk rumah tersebut dan berjaya menyelamatkan mangsa dan anaknya," tambah beliau.

Katanya, ketika ditemui, mangsa dalam keadaan lemah dan mengalami lebam-lebam di anggota badannya kemungkinan dipukul untuk melakukan seks.

Katanya lagi, mangsa turut diugut bunuh serta diacukan pisau oleh suspek sekiranya tidak mahu bekerjasama atau cuba membuat kecoh.

"Berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa disahkan dirogol," katanya.

Susulan daripada itu, Abdul Jalil berkata, pihaknya berjaya menahan suspek di Hentian Pudu Raya di sini, kira-kira pukul 2 petang pada hari sama, dipercayai cuba melarikan diri selepas mengetahui polis menyerbu rumahnya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal, suspek berusia 38 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes ugut, pukul dan curi.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 342 kanun yang sama kerana mengurung secara salah.

Menurutnya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

Sehubungan itu Abdul Jalil meminta orang ramai yang mempunyai masalah agar berurusan dengan persatuan kebajikan di bawah naungan kerajaan dan bukannya mana-mana persatuan persendirian.


Curi: Pasangan kekasih ditangkap

⊆ 4:05 AM by Azam | ˜ 0 comments »



Oleh ZAID MOHD. NOOR
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my

ORANG RAMAI mengepung gadis yang ditahan selepas mencuri telefon bimbit bersama kekasihnya di Jalan Temenggung, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Seorang gadis yang membantu teman lelakinya mencuri telefon daripada sebuah lori tidak sempat melarikan diri kerana berjaya diberkas oleh orang ramai di Jalan Temenggung di sini semalam.

Gadis berusia 34 tahun itu turut dipukul oleh beberapa wanita yang geram dengan perbuatannya itu sebelum diserahkan kepada polis.

Orang ramai turut berjaya menahan teman lelakinya yang berusia 34 tahun yang turut cuba melarikan diri tidak jauh dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, kejadian berlaku pada pukul 12 tengah hari apabila lelaki terbabit mencuri dua buah telefon bimbit sebelum memberinya kepada teman wanitanya yang menunggu di motosikal.

Menurutnya ketika kejadian, pemandu lori yang berusia 26 tahun berada di dalam sebuah kedai berhampiran untuk menguruskan hal perniagaan dan terdengar bunyi sesuatu pada kenderaannya.

"Apabila pergi ke lorinya, pemandunya terlihat seorang lelaki melarikan dua buah telefon bimbitnya bernilai RM1,200 sebelum memberinya kepada seorang wanita yang sedang menunggu di motosikal berhampiran lori itu.

"Pemandu lori kemudiannya menjerit meminta pertolongan dari orang ramai," katanya.


Azab kena dera 11 hari berakhir - Dua lelaki warga Bangladesh dikurung, dipukul, dirantai rakan senegara

⊆ 4:00 AM by Azam | ˜ 0 comments »



Oleh MOHD. TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my

DUA warganegara Bangladesh yang menjadi mangsa culik dan dera empat rakan senegara mereka menunjukkan rantai yang diikat pada kedua belah kaki dan tangan mereka di sebuah pangsapuri di Lagoon Perdana selepas diselamatkan polis semalam.

KUALA LUMPUR - Keperitan dua lelaki Bangladesh yang dikurung dan didera oleh empat lelaki senegaranya dan seorang wanita Indonesia selama 11 hari berakhir selepas polis menyerbu sebuah rumah di Bandar Sunway semalam.

Ketika serbuan pada pukul 1.15 petang itu, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terikat dan mulut mereka ditutup dengan pita pelekat serta lemah di ruang tamu rumah di tingkat 15 Blok 3A Pangsapuri Lagoon Perdana PJS 9/1.

Bagaimanapun, cuma dua suspek ditahan termasuk seorang wanita warga Indonesia dalam serbuan yang dilakukan selepas polis menerima dua laporan culik daripada rakan mangsa pada 5 dan 6 November lalu.

Menurut sumber polis, sepanjang tempoh dikurung, suspek telah mendapat wang tebusan sebanyak RM32,500 daripada rakan-rakan mangsa di sini dan ahli keluarga di kampung mereka di Brishale, Bangladesh.

Mangsa yang berusia 31 dan 32 tahun tersebut memberitahu hanya diberi makan sebanyak dua kali sehari selain mulut mereka ditampal dengan pita pelekat manakala kaki dan tangan pula dirantai.

"Mereka turut dipukul dengan batang besi dan mengugut rakan dan ahli keluarga mereka melalui panggilan telefon untuk terus melakukan seksaan sekiranya mereka enggan membuat pembayaran,'' katanya sambil memberitahu tiga lagi rakan suspek yang masih bebas sedang diburu polis.

Tambahnya, polis turut merampas beberapa alat untuk mendera seperti batang besi, pisau, kapak dan playar dari rumah yang mempunyai tiga bilik tersebut.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Abu Hanif, 31, memberitahu, ahli keluarganya terpaksa menjual tanah dan beberapa ekor lembu untuk mendapatkan wang yang diminta oleh penculik tersebut.


⊆ 3:56 AM by Azam | ˜ 0 comments »


Ketua Geng Deva mati ditembak

Oleh AZELI ALI
mohdazeli.ali@kosmo.com.my

ANGGOTA polis memeriksa kereta ketua Geng Deva selepas dia ditembak mati di Lebuh Raya Jelutong, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN - Datang dari Lembah Klang semata-mata untuk melakukan jenayah di Pulau Pinang.

Namun belum sempat ia dilaksanakan, seorang lelaki yang dipercayai ketua Geng Deva mati ditembak polis di Pengkalan Weld berhampiran Flat Lebuh Noordin di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.50 petang itu, suspek, 37, mati selepas adegan tembak-menembak dengan polis yang mengekorinya dari Bukit Jambul.


Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob, polis menerima maklumat tentang kegiatan beberapa kumpulan penjenayah bersenjata api di negeri itu dan hasil siasatan, polis berjaya mengesan seorang daripada mereka di Lebuh Raya Jelutong.

"Polis cuba memintas kereta Perodua MyVi yang dinaiki suspek tetapi suspek telah melepaskan dua das tembakan ke arah polis.

"Anggota polis membalas tembakan yang akhirnya membunuh lelaki terbabit dan polis menemui pistol jenis HK 9mm dengan dua kelopak peluru di dalam kereta suspek," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Lelaki mati ditembak

⊆ 3:50 AM by Azam | ˜ 0 comments »




Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN
utusanperlis@utusan.com.my


ANGGOTA polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis
memeriksa tempat kejadian lelaki mengamuk ditembak polis di Kampung Guar Sanji, Arau, semalam. - BERNAMA

KANGAR 14 Nov. - Mungkin disebabkan terlalu marah kerana masalah tidak selesai dan terpaksa pula berjalan kaki sejauh lebih 60 kilometer dari Alor Setar, Kedah untuk pulang ke rumah di Guar Sanji, Arau selepas ditinggalkan rakan-rakan, seorang pemuda terdorong mahu membelasah dan membunuh semua rakannya itu.

Tetapi malang kemarahan Mohd. Taufiq Norzan, 21, membawa padah apabila dia akhirnya ditembak oleh anggota polis yang gagal untuk memujuk dan mengawalnya supaya bertenang.

Kisahnya bermula apabila rakan- rakannya itu menjemput Mohd. Taufik di rumahnya pada kira-kira pukul 10 malam dipercayai untuk berhibur di Alor Setar dengan menaiki kereta sebelum kemudiannya dia ditinggalkan di bandar itu.

Dia terpaksa pulang berjalan kaki kerana tiada pengangkutan awam selepas pukul 12 tengah malam.

Setibanya di Arau kira-kira pukul 5 pagi, Mohd. Taufiq terus mencari rakan-rakan itu dengan mangsa pertama, seorang kontraktor berusia 23 tahun.

Dia dipercayai dibelasah oleh Mohd. Taufiq dengan besi dan kayu kira- kira pukul 5.30 pagi sehingga cedera di badan, muka dan tangan.

Mangsa menerima beberapa jahitan akibat luka dan dirawat sebagai pesakit luar.

Selepas itu, Mohd. Taufik terus ke Balai Polis Arau mengadu dianiayai rakan-rakannya dan mahu membalas dendam.

Setelah gagal dipujuk bertenang oleh polis, dia pulang ke rumah manakala polis menghubungi bapanya, Norzan Abdul Rahim, 47, kira-kira pukul 6.30 pagi supaya mententeramkan Mohd. Taufiq.

Setibanya di rumah, Mohd. Taufiq mengambil sebilah pisau pemotong sayur dan daging milik ibunya, Salmiah Ismail, 45, dan terus keluar menuju ke rumah rakannya.

Ketika berjalan kaki ke rumah rakannya, Mohd. Taufiq sekali lagi dipujuk oleh bapanya dan sepasukan anggota polis, tetapi gagal sebelum dia ditembak mati kira-kira pukul 8.15 pagi di kawasan tapak Pasar Sehari Guar Sanji.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Perlis, Datuk Jamshah Mustapa dalam sidang akhbarnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis berkata, pihaknya terpaksa menembak Mohd. Taufik demi ketenteraman awam.

"Kira-kira pukul 5.30 pagi pemuda itu mencederakan rakannya, seorang kontraktor berusia 23 tahun. Selepas dicederakan, mangsa membuat aduan di Balai Polis Arau menyatakan dia diancam bunuh oleh penyerang terbabit.

"Pemuda yang menyerang itu juga ke Balai Polis Arau menyatakan dia mahu membunuh seseorang. Pemuda yang mengamuk tadi kemudian pulang ke rumah. Polis mengekorinya sambil memujuk, tetapi tidak diendahkan," ujarnya.

Kata Jamshah lagi, kira-kira pukul 8 pagi, Mohd. Taufik bertindak semakin liar sambil menjerit-jerit, melompat dan mengancam keselamatan penduduk tempatan.

"Setelah keadaan semakin tidak stabil polis melepaskan tembakan amaran ke udara. Namun demikian, pemuda itu didapati semakin hilang kawalan hingga mahu menyerang anggota polis yang memujuknya.

"Ketika pemuda yang bersenjatakan pisau pemotong daging bertindak di luar kewarasan untuk menyerang seorang anggota polis, anggota polis itu terpaksa melepaskan tembakan.

"Selepas ditembak, pemuda itu bertindak lebih agresif. Bagi memudahkan kami mengawalnya, polis terus menggarinya. Setelah dia semakin tenang, pemeriksaan mendapati tembakan yang dituju ke kakinya telah terkena badan," ujarnya.

Mohamad Taufik, seorang peniaga makanan di Arau disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Sementara itu, Norzan berkata, dia akan mengambil tindakan undang- undang terhadap polis yang disifatkan bertindak tidak profesional.

Dia yang berada tidak jauh dari tempat kejadian mendakwa mendengar tiga das tembakan.

"Selepas mendengar tembakan, saya berlari ke arah tempat itu dan mendapati Mohd. Taufiq terbaring akibat tembakan di dada," katanya.

Norzan berkata, isterinya pengsan setelah mengetahui anaknya mati ditembak oleh polis.