Cubaan seludup mercun, bunga api RM200,000 gagal
⊆ 4:08 PM by Azam | ˜ 0 comments »SERDANG 30 Ogos - Polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM200,000 setelah menahan sebuah lori muatan tiga tan di Lebuh Raya Besraya dekat Serdang Lama di sini semalam.
Turut ditahan, pemandu lori itu yang berusia 49 tahun yang ketika itu dalam perjalanan menghala ke Melaka.
Lori tersebut yang dipercayai disewa, ditahan dalam satu sekatan jalan raya pihak polis kira-kira pukul 5.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, polis menahan kenderaan itu setelah mendapati ia dalam keadaan mencurigakan.
"Setelah diperiksa, kita menemui sejumlah 256 kotak besar dalam lori itu. Kesemua kotak itu pula mengandungi kira-kira 10,560 pek mercun dan bunga api yang diseludup masuk ke negara ini.
"Antara mercun dan bunga api yang dirampas adalah jenis Glow Of Sunset, Dragon Egg, 49 Shot Angle Cake dan mercun papan merah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini hari ini.
Menurut Zainal Rashid, pihaknya percaya kesemua barang larangan itu cuba dibawa ke Melaka untuk dipasarkan di negeri itu menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
"Kita masih menyiasat dari mana pemandu lori ini mendapat bekalan mercun dan bunga api tersebut. Namun, kita tidak menolak kemungkinan ia diperoleh dari negara jiran," jelasnya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati, pemandu lori itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Dia kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai yang mengetahui aktiviti penyeludupan dan penjualan mercun dan bunga api menjelang musim perayaan ini supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Kuala Lumpur Time
0 Responses to Cubaan seludup mercun, bunga api RM200,000 gagal
= Leave a Reply