Dinding rahsia sorok DVD

⊆ 4:35 PM by Azam | ˜ 0 comments »



KUALA LUMPUR: Cubaan seorang pengedar cakera video digital (DVD) menjadikan beberapa bahagian dalam premisnya sebagai stor nyata gagal mengaburi anggota penguat kuasa Bahagian Kawalan Filem Kementerian Dalam Negeri (KDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Malah, beberapa keping papan lapis yang dijadikan dinding di belakang premis di Bandar Sri Permaisuri di sini, yang menjalankan perniagaan menjual bahan haram itu turut dilengkapi sistem elektronik magnet yang hanya boleh dibuka menggunakan alat kawalan jauh.

Stor rahsia itu dikesan biarpun pekerja yang berada dalam premis berkenaan enggan bekerjasama untuk menyatakan lokasi barangan haram itu disimpan.

Dalam serbuan jam 2.30 petang kelmarin, sepasukan penguat kuasa KDN memulakan intipan selama beberapa minit sebelum menyerbu premis itu.





Ketua Cawangan KDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nor Aziah Abdullah, berkata serbuan itu dilakukan hasil risikan dan maklumat yang diperoleh.

“Kira-kira jam 2.30 petang, beberapa pegawai kami mengenalpasti lokasi premis yang melakukan kegiatan pengedaran DVD tiada perakuan Sijil B atau cetak rompak termasuk lucah itu,” katanya.

Ketika diserbu tiada pelanggan dalam premis terbabit melainkan seorang pekerja lelaki yang leka menyusun bahan publisiti filem di rak.

Pada mulanya, pekerja terbabit enggan bekerjasama, tetapi pemeriksaan lanjut mengesan keadaan pelik pada dinding di belakang premis itu.

Beberapa anggota penguat kuasa memecahkan kepingan dinding diperbuat dari papan lapis itu.

“Rupanya dinding papan lapis yang digunakan sindiket terbabit mengandungi ribuan keping DVD tanpa perakuan Sijil B termasuk lucah selain turut dilengkapi magnet dan hanya boleh dibuka menggunakan alat kawalan jauh.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui 3,687 filem pelbagai tajuk dalam bentuk DVD tanpa perakuan Sijil B selain 286 filem lucah pelbagai tajuk dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (a) dan Seksyen 5 (1) (b) Akta Penapisan Filem 2002,” katanya.


0 Responses to Dinding rahsia sorok DVD

= Leave a Reply