Tasik lubuk motosikal curi
⊆ 12:30 AM by Azam | ˜ 0 comments »
Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my
Seorang penduduk melihat sebahagian motosikal curi yang dibuang ke dalam Tasik Biru Kundang, Rawang, semalam.
RAWANG 28 Ogos - Siapa pun tidak menyangka, Tasik Biru Kundang yang terletak di sini menjadi lubuk tempat pembuangan motosikal curi di sekitar ibu negara sejak tiga tahun lalu.
Selepas motosikal itu dicuri dan diambil komponen-komponen berharga, rangka motosikal yang dicuri itu dibuang bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, taktik satu kumpulan pencuri motosikal yang dikenali sebagai geng 'Kami Kaze'
melakukan kegiatan itu terbongkar setelah tiga daripada mereka ditahan polis, baru-baru ini.
Hasil penangkapan itu, polis menemui 67 rangka motosikal curi yang dicampakkan ke dalam tasik itu, dalam operasi mencari yang dimulakan sejak semalam dengan bantuan Unit Skuba Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dua daripada ahli kumpulan itu ditahan di Kota Damansara pada malam Sabtu lalu.
Ketika ditahan, polis turut merampas set 'allen key' yang digunakan kumpulan itu untuk menghidupkan motosikal yang dicuri.
Susulan penahanan dua lelaki terbabit, polis menahan seorang lagi rakan mereka di sebuah rumah di Gombak dua hari kemudian.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, hasil soal siasat, ketiga-tiga suspek itu mengaku terlibat dalam kegiatan curi dan menjual komponen motosikal sejak tiga tahun lalu.
"Mereka kemudian membawa kita ke sebuah tasik (Tasik Biru Kundang) yang dijadikan lokasi pembuangan rangka motosikal yang dicuri itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, polis menamatkan operasi menyelam di tasik itu petang ini selepas percaya tiada lagi rangka motosikal di dalamnya.
Ditanya mengenai modus operandi kumpulan tersebut, Arjunaidi berkata, mereka akan mencuri motosikal yang 'terdedah' untuk dicuri dan menghidupkannya' menggunakan 'allen key.'
Beliau berkata, suspek kemudian menjual komponen motosikal tertentu pada harga yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran sebelum membuang rangka motosikal itu ke dalam tasik bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan polis.
Pada masa yang sama, beliau tidak menolak kemungkinan masih ada ahli kumpulan Geng Kami Kaze yang masih bebas.
Menurutnya, kesemua suspek itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
Kuala Lumpur Time
0 Responses to Tasik lubuk motosikal curi
= Leave a Reply