10 penyamun menyamar polis tumpas

⊆ 5:06 PM by Azam | ˜ 0 comments »

JOHOR BAHRU: Berbekalkan pakaian seragam pegawai dan anggota polis, sekumpulan 10 lelaki hanya memerlukan tiga hari, sebelum ditumpaskan kelmarin, untuk melakukan 21 kegiatan samun di tiga kawasan di bandar raya ini, dengan kerugian dianggarkan lebih RM500,000.

Kumpulan penjenayah itu, yang bertindak ganas terhadap semua mangsanya, dikatakan mendapat pakaian seragam pegawai dan anggota polis secara haram dan modus operandi mereka dengan menyamun mangsa di tepi jalan.

Semua kejadian samun berlaku antara jam 5.30 pagi dan 10 pagi dengan mangsa diarahkan memberhentikan kenderaan kononnya, untuk tujuan pemeriksaan sebelum menyamun barangan berharga termasuk kenderaan selain mencederakan mangsa.

Bertindak atas maklumat dan laporan yang diterima, polis Johor menubuhkan satu pasukan dianggotai pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Johor Bahru Selatan, IPPD Johor Bahru Utara dan IPPD Seri Alam bagi menumpaskan kumpulan ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kira-kira jam 1.10 tengah hari kelmarin, pasukan khas polis itu, membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Melayu Pandan di sini, dan menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 18 dan 28 tahun.

Katanya, beberapa jam kemudian, melalui maklumat yang diterima, polis kemudian menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Bukit Mutiara di sini, sebelum menahan tiga lagi ahli kumpulan itu, berusia antara 23 dan 26 tahun, juga warga tempatan.

“Kita sedang mengesan tiga lagi ahli kumpulan ini, dan nasihat saya pada mereka, sila serah diri kerana polis sudah mengenal pasti semua mereka dan hanya masa menentukan sebelum ketiga-tiganya dapat ditahan,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, hasil pemeriksaan di dua rumah yang diserbu, polis menemui sepasang pakaian seragam lengkap pegawai kanan polis, 'vest' polis, jaket hitam lambang Polis Tentera Diraja selain peralatan berbahaya seperti kapak, pisau, buku lima dan parang.

Katanya, turut ditemui, beberapa kad pengenalan orang awam, kad kredit, kad kuasa polis, kad bank, lesen memandu orang awam dan beberapa dokumen diri orang awam.

“Empat kereta yang ditemui adalah sebuah jenis Proton Iswara, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mit-subishi Grandis, Honda Civic, Proton Waja selain sebuah motosikal,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, salah seorang daripada yang ditahan, baru selesai menjalani hukuman di penjara Simpang Renggam dan dibebaskan Mei lalu.

“Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman daripada mahkamah hari ini (semalam), dan kes ini, disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, kerana melakukan samun berkumpulan,” katanya.


0 Responses to 10 penyamun menyamar polis tumpas

= Leave a Reply