2 polis dilanggar mat rempit

⊆ 11:16 PM by Azam | ˜ 0 comments »




MOHD. SHUKRI (tengah) bertanya sesuatu kepada L/Koperal Alfauzi yang dirawat
di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU - Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Supritendan Ismail Man dan seorang anggota trafik cedera dirempuh mat rempit dalam dua kejadian di sini semalam.

Dalam kejadian di Wakaf Mempelam pukul 2.15 pagi, Ismail patah tangan kiri setelah dihimpit oleh seorang mat rempit, ketika beliau turut melakukan rondaan di situ.

"Pegawai terbabit turut melakukan rondaan mencegah lumba haram sebelum terserempak dengan sekumpulan mat rempit yang melakukan aksi wheelie.

"Apabila dihampiri, kumpulan mat rempit itu cuba melarikan diri dan salah seorang daripada mereka menghimpit motosikal yang dinaiki oleh mangsa menyebabkan beliau terjatuh dan tercedera," kata Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan kepada pemberita semasa melawat Ismail di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

Mohd. Shukri berkata, mat rempit berkenaan turut terjatuh tetapi berjaya melarikan diri.

Tidak sampai 15 minit selepas kejadian itu, seorang anggota trafik Lans Koperal Alfauzi Abdullah, 28, patah kaki kiri akibat dirempuh oleh seorang mat rempit di Jalan Sultan Mahmud.

Mangsa dilanggar ketika cuba menahan sekumpulan mat rempit dari arah Jalan Kamaruddin menghala ke pusat bandar, menyebabkan Alfauzi terjatuh dan cedera, sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk diberi rawatan lanjut.


0 Responses to 2 polis dilanggar mat rempit

= Leave a Reply