Bangun tidur kereta RM1.2j lesap

⊆ 4:23 PM by Azam | ˜ 0 comments »

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan terkejut apabila mendapati dua kereta mewah model Mercedes Benz dan Porsche miliknya bernilai hampir RM1.2 juta lesap dari perkarangan rumahnya sebaik terjaga dari tidur.

Dalam kejadian awal pagi semalam, mangsa bersama keluarga yang sedang tidur di tingkat atas rumah teres mereka di Taman Bukit Desa, Jalan Klang Lama, di sini didakwa langsung tidak menyedari rumah mereka dipecah masuk.

Mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, ketika kejadian dia dan keluarga lain sedang tidur di tingkat atas rumah manakala pembantu rumah tidur di tingkat bawah rumah dua tingkat itu.

Dia yang berusia lingkungan 50-an mendakwa penjenayah bertindak menceroboh masuk melalui pintu pagar rumah sebelum meloloskan diri melalui pintu utama rumahnya itu.

“Sebaik berjaya masuk ke dalam rumah, suspek dikatakan hanya mengambil kunci kenderaan tanpa menyentuh barang berharga lain.

“Suspek kemudian menghidupkan enjin dua kenderaan mewah terbabit sebelum melarikan diri. Kedua-dua kenderaan milik kami itu bernilai lebih RM1.2 juta,” katanya.

Menurutnya, dia percaya kejadian jenayah melarikan kenderaannya itu berlaku antara jam 3 hingga 4 pagi.

“Agak malang kerana rumah saya tidak mempunyai sistem penggera keselamatan atau kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh digunakan bagi mengesan kehadiran penjenayah berkenaan.

“Bagaimanapun, satu lagi kereta milik kami tidak dilarikan,” katanya.

Sementara itu, seorang petugas syarikat kawalan keselamatan yang ditugaskan berkawal di kawasan perumahan itu mendakwa seorang daripada pengawal di situ sempat melihat kelibat tiga lelaki menaiki sebuah kereta model Honda berwarna putih.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Krisnan mendakwa pengawal keselamatan sempat melihat kenderaan terbabit dalam keadaan mencurigakan berpusing-pusing di kawasan itu sebanyak lima kali.

“Pengawal keselamatan yang bertugas tidak berani menahan kereta itu kerana bimbang suspek membawa senjata berbahaya. Berikutan itu, pengawal keselamatan berkenaan segera memaklumkan kehadiran kereta itu kepada penyelia bertanggungjawab.

“Perkara itu kemudian segera dimaklumkan kepada pihak polis namun sebaik anggota polis peronda sampai ke lokasi kejadian, suspek sudah terlebih dahulu melarikan kereta mewah itu,” katanya.

Menurutnya, tiada pondok kawalan khas dibina di kawasan itu dan dua pengawal keselamatan yang bertugas pada satu-satu masa hanya meronda dengan menaiki motosikal bagi mengawasi 200 rumah di taman perumahan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu usaha mengesan penjenayah dan kereta mewah terbabit sedang dilakukan.


0 Responses to Bangun tidur kereta RM1.2j lesap

= Leave a Reply