Cerita hubungan sulit bapa

⊆ 7:06 AM by Azam | ˜ 0 comments »

Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my


KOTA BHARU: Gara-gara tidak tahan sering diganggu SMS lucah dihantar seorang wanita misteri dipercayai ‘teman sosial’ suaminya, seorang suri rumah membuat laporan polis selepas dia dan anak-anak tertekan dengan tindakan itu.

Wanita berusia 42 tahun berasal dari Ketereh itu mendakwa sudah lima tahun dia sekeluarga diganggu wanita misteri terbabit yang turut menghantar SMS lucah kepada anak lelakinya berusia 12 tahun.

Menurutnya, dia sudah dua kali membuat laporan di Balai Polis Kok Lanas termasuk terbaru pada 12 April lalu, namun tiada perkembangan kerana aduan itu didakwa terlalu rumit diselesaikan.

“Saya kecewa dengan kejadian yang berlaku. SMS lucah itu bukan saja ditujukan kepada saya, malah turut diterima anak-anak mereka.

“Ini terbukti apabila anak lelaki menunjukkan mesej lucah yang memaklumkan mengenai kelakuan seks wanita itu dengan suami saya,” katanya ketika datang ke pejabat Harian Metro, semalam.

Wanita itu yang mempunyai tujuh anak berusia antara lapan hingga 20 tahun berkata, wanita misteri itu pernah menghubungi telefon rumah dan menceritakan kepada anak-anak mengenai hubungan seks yang dilakukannya bersama bapa mereka.

“Perbuatan wanita itu menyebabkan anak-anak mengalami gangguan emosi manakala pelajaran mereka turut terganggu kerana teringatkan kata-kata wanita itu yang mahu memecah-belahkan keluarga kami.

“Keadaan ini menyebabkan saya dan suami sering bergaduh, malah saya pernah dipukul,” katanya yang mengaku sudah beberapa kali menjalani proses kaunseling dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) tetapi gagal.

Menurutnya, walaupun suaminya menafikan, namun dia yakin perkara itu berlaku berdasarkan SMS diterima daripada wanita berkenaan.

“Sudah banyak kali saya menasihatkan suami jangan berhubung dengan wanita itu tetapi setiap kali diajukan perkara itu, kami akan bergaduh,” katanya.

Berikutan itu, dia bercadang menuntut fasakh, namun menghadapi masalah kerana suaminya pulang ke rumah setiap hari walaupun lewat.

“Apa yang saya tahu, suami tidak akan ‘melepaskan’ saya tetapi pada masa sama mahu menjalinkan hubungan sulit dengan wanita berkenaan,” katanya yang turut membuat permohonan untuk bercerai di Balai Islam Lundang, di sini.


0 Responses to Cerita hubungan sulit bapa

= Leave a Reply