Dicekup polis ketika samun rumah kedua

⊆ 9:33 AM by Azam | ˜ 0 comments »

KOTA TINGGI 6 Sept. – Setelah gagal memasuki sebuah rumah apabila kehadiran mereka disedari penghuninya, sekumpulan penjenayah memecah masuk rumah lain pula.

Namun, cubaan kedua mereka gagal apabila dicekup polis yang sedang membuat pemeriksaan di rumah pertama, iaitu kira-kira satu kilometer dari situ.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.10 pagi di Kampung Belading, Teluk Sengat, Khamis lalu.

Katanya, dalam cubaan pertama, tiga penjenayah warga Indonesia cuba memasuki rumah seorang pesara dengan memotong jeriji tingkap.

“Namun perbuatan mereka disedari tuan rumah menyebabkan mereka melarikan diri. Pesara berusia 61 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Teluk Sengat.

“Ketua Polis Balai, Sarjan Bahar Fadzillah dengan dibantu Ikatan Relawan Rakyat (Rela) kemudian datang dan membuat pemeriksaan di rumah berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, bagaimanapun pada pukul 3.30 pagi, polis menerima aduan sebuah rumah lagi dipecah masuk kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Tambahnya, dalam kejadian itu, kumpulan penjenayah berkenaan mengumpil pintu belakang rumah pasangan warga emas dan melarikan sebuah beg tangan berisi wang tunai dan gelang emas.

“Suaminya yang terjaga melihat tiga lelaki melarikan diri melalui pintu belakang rumahnya lalu dia bergegas membuat laporan polis,” ujarnya.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan itu, pasukan polis yang berada di rumah pertama lantas mengepung kawasan berkenaan dan berjaya menahan dua daripada tiga penjenayah tersebut.

Osman berkata, pihaknya merampas semula beg tangan mangsa daripada dua suspek berusia 27 dan 36 tahun itu yang mengandungi wang tunai RM421 dan $51 dolar Singapura (RM126) serta seutas gelang emas.


0 Responses to Dicekup polis ketika samun rumah kedua

= Leave a Reply