Ditembak ketika bantu warga emas diragut

⊆ 5:44 PM by Azam | ˜ 0 comments »

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Niat baik seorang pelayan bar membantu seorang warga emas daripada disamun di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Mont Kiara di sini hari ini, nyaris meragut nyawanya.

Ketika kejadian kira-kira 1.30 petang, mangsa yang melalui tempat kejadian ternampak wanita berusia 70 tahun tersebut sedang bergelut dengan seorang lelaki.

Difahamkan, mangsa turut bergelut dengan penyamun yang menunggang motosikal berwarna merah itu untuk mendapatkan kembali barangan wanita berkenaan.

"Ketika pergelutan itu, suspek yang berang telah mengeluarkan sepucuk pistol lalu melepaskan dua das tembakan.

"Satu tembakan terkena bahu kiri mangsa manakala satu lagi tersasar. Suspek kemudiannya melarikan diri dengan motosikal tersebut," katanya.

Wanita warga emas terbabit kemudiannya menghubungi polis bagi mendapatkan pertolongan sebelum membuat laporan di balai berdekatan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu, siasatan awal pihaknya mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran motosikal palsu.

"Kita juga masih menjalankan siasatan mengenai senjata api yang digunakan suspek," ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 atau SMS ke 32728 bagi membantu siasatan.


0 Responses to Ditembak ketika bantu warga emas diragut

= Leave a Reply