Drebar teksi ditahan bersama 5kg dadah

⊆ 7:01 AM by Azam | ˜ 0 comments »


SHAH ALAM: Seorang pemandu teksi berdepan hukuman gantung sampai mati selepas ditahan ketika cuba mengedar dadah jenis ketamin seberat hampir lima kilogram.

Pemandu teksi berkenaan yang dipercayai menjadi drebar bagi mengaburi aktiviti pengedaran dadah diberkas sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ketika cuba menyerahkan dadah kepada pelanggan di hadapan sebuah restoran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, suspek yang berusia 36 tahun ditahan kira-kira jam 7.40 malam Sabtu lalu berhampiran Taman Industri Bolton Seri Gombak di sini.

Menurutnya, suspek ditahan sebaik keluar dari teksi dipandunya dengan membawa satu beg plastik dalam keadaan mencurigakan.

“Polis yang melakukan pemeriksaan di dalam beg plastik terbabit menemui lima peket plastik lut sinar berisi hablur yang disyaki dadah ketamin.

“Tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat bakal berlaku transaksi penjualan dadah ketamin di kawasan berkenaan sebelum polis melakukan intipan di kawasan itu sejak jam 4 petang lagi,” katanya.

Menurutnya, lima peket bahan disyaki ketamin seberat lima kilogram itu bernilai RM150,000 dan lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis percaya suspek sudah mula bergiat cergas menjual dadah ketamin terbabit sejak dua bulan lalu.

“Ujian air kencing ke atas suspek sejurus ditahan mendapati suspek positif mengambil dadah.

“Malah, suspek pernah ditahan sebelum ini berhubung kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan pada 1995,” katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman sehingga 12 September depan untuk siasatan lanjut.


0 Responses to Drebar teksi ditahan bersama 5kg dadah

= Leave a Reply