Hasrat cari patung emas, terjumpa mayat
⊆ 2:51 AM by Azam | ˜ 0 comments »KUALA LUMPUR 31 Ogos - Hasrat seorang lelaki yang ingin mengambil semula 'patung emas' dalam sebuah beg yang dibuangnya pada 25 Ogos lalu, bertukar menjadi mimpi ngeri apabila beg itu sebenarnya mengandungi mayat seorang lelaki.
Lelaki terbabit yang berusia lingkungan 30-an terkejut dan terus melarikan diri sebaik sahaja menemui mayat tersebut kira-kira pukul 5 petang di Kilometer 56.7, Lebuh Raya Karak pada hari yang sama mayat tersebut dibuang.
Bagaimanapun, akibat terkejut dan takut, dia hanya melaporkan penemuan itu kepada pihak polis empat hari kemudian setelah dinasihat oleh rakannya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, lelaki terbabit dikatakan telah diupah sebanyak RM100 oleh seorang wanita supaya membuang beg yang berisi 'patung emas' itu.
"Lelaki yang berasal dari Pulau Pinang itu diupah sebanyak RM100 oleh wanita itu yang juga kenalannya supaya membuang beg itu dengan menggunakan sebuah kereta Nissan Grand Livina.
"Tanpa berfikir panjang, dia terus bertindak mengikut arahan yang diberikan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagaimanapun, Abdul Jalil berkata, hasil siasatan di kediaman wanita terbabit di Kondominium Pandan Mewah Height di Pandan Indah hari ini, polis tidak menemui sebarang bukti kejadian itu.
Menurut beliau, pihaknya juga telah membuat pemeriksaan di Jabatan Imigresen yang mengesahkan wanita terbabit telah melarikan diri ke India pada Rabu lalu.
Tambah Abdul Jalil lagi, wanita itu sudah berkahwin namun polis sehingga kini tidak dapat mengesan lokasi suaminya.
Sehubungan itu, Abdul Jalil memberitahu, polis tidak menolak kemungkinan bahawa mayat tersebut adalah suami kepada wanita terbabit.
Dalam kejadian kelmarin, mayat seorang lelaki yang sudah reput ditemui di tepi semak berhampiran jalan masuk ke Dusun Eco Resort, kira-kira 100 meter dari Kilometer 56.7, Lebuh Raya Gombak-Bentong.
Ketika ditemui, terdapat kesan luka pada perut namun identiti mayat tersebut tidak dapat dikenal pasti ekoran tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai di tempat kejadian.
"Bagaimanapun, kita masih menunggu keputusan bedah siasat yang hanya akan dijalankan esok di Hospital Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan bagi mengetahui identiti mayat," katanya.
Kuala Lumpur Time
0 Responses to Hasrat cari patung emas, terjumpa mayat
= Leave a Reply