Lelaki mati ditetak tiga penyerang
⊆ 3:08 AM by Azam | ˜ 0 comments »JOHOR BAHRU 31 Ogos - Seorang lelaki mati ditetak selepas gagal melarikan diri dari tiga penyerangnya dalam satu pergaduhan di Jalan Harimau, Taman Century di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada 10.30 malam itu, Chia Kah Wai, 25, dari Jemaluang, Mersing dipercayai cuba melarikan diri dengan memasuki sebuah restoran di Jalan Beruang, 200 meter dari tempat bermulanya pergaduhan.
"Di dalam premis berkenaan mangsa ditetak beberapa kali di kepala, badan dan tangan," kata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob.
Seorang pelanggan restoran berusia 47 tahun turut cedera selepas ditetak di belakang kepala.
Chia yang cedera parah terus cuba melarikan diri sebelum terjatuh ke dalam longkang sedalam satu meter, kira-kira 50 meter dari restoran itu.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat manakala pelanggan restoran yang cedera dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan.
Siasatan awal polis mendapati tiga suspek berusia dalam lingkungan 20-an di mana dua daripadanya memakai jaket hitam dan bertopi manakala seorang lagi memakai baju T berwarna putih.
Kesemua suspek yang bersenjatakan parang melarikan diri menggunakan sebuah kereta Toyota Vios berwarna biru.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
Zainuddin meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA
Kuala Lumpur Time
0 Responses to Lelaki mati ditetak tiga penyerang
= Leave a Reply