Lukisan dadah

⊆ 3:26 AM by Azam | ˜ 0 comments »



Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Menyembunyikan dadah dalam bingkai lukisan abstrak dijadikan modus operandi terbaru sindiket penyeludupan dadah jenis kokain selain menggunakan khidmat wanita warga asing.

Sindiket penyeludupan dadah antarabangsa terbabit yang berpangkalan di Lima, Peru dipercayai menjadikan beberapa lokasi seperti Bangkok, Johannesburg dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai pusat transit.

Malah, seorang wanita berusia 22 tahun yang ditahan Jumaat lalu di Hentian Puduraya ketika hendak ke Hatyai, Thailand dengan membawa dua bingkai gambar membuktikan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa sentiasa kreatif menyeludup dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata wanita terbabit ketika ditahan memegang dua bingkai gambar lukisan abstrak dipercayai berisi kokain.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap wanita terbabit sebaik ditahan kira-kira jam 7.15 malam, polis menemui 2,046 gram dadah kokain dalam bingkai gambar itu.

“Kami terpaksa memecahkan bingkai gambar menggunakan pahat sebelum menemui dadah itu,” katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan wanita terbabit membeli tiket ke negara jiran menggunakan jalan darat bagi tujuan pengedaran dadah ke negara berkenaan.

Wanita warga Thailand terbabit yang menjadi ‘keldai’ dadah bagi sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Selatan ditahan sepasukan anggota termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) selepas mendapat maklumat risikan.

“Berikutan tangkapan itu, polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa menggunakan khidmat wanita warga asing hasil kerjasama polis Thailand.

“Pihak polis kedua-dua negara kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu serta sindiket lain dalam aktiviti pengedaran dadah jenis kokain di negara ini dan antarabangsa,” katanya.

Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah hingga Jumaat ini dan disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Dalam satu lagi tangkapan, polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di hotel mewah di ibu kota Selasa lalu dengan penahanan satu pasangan tempatan dan seorang lelaki warga Iraq.

Mereka berusia antara 21 dan 33 tahun ditahan sedang membungkus dadah di bilik hotel mewah.

Kang berkata, ketiga-tiga mereka kerap berpindah-randah dari satu hotel ke hotel lain bagi mengedar dadah dan mengelakkan kegiatan mereka dikesan.

Pasangan tempatan dipercayai menjadi dalang.


0 Responses to Lukisan dadah

= Leave a Reply