Mercun: Janda ditahan
⊆ 6:30 PM by Azam | ˜ 0 comments »
Oleh RADHUAN HUSSAIN
pengarang@utusan.com.my
DUNGUN 5 Sept. - Walaupun sedang hamil tujuh bulan, namun ia bukan penghalang kepada seorang janda untuk menyeludup mercun dan bunga api dari Thailand untuk dijual di pasaran negeri ini.
Bagaimanapun, perbuatan janda itu terbongkar apabila dia ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Alor Makbah di sini awal pagi tadi.
Selain janda beranak empat itu, tiga lelaki, dua daripadanya warga Thailand turut ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Supritendan (DSP) Ismail Abdullah berkata, sejumlah mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM5,000 dirampas dan bahan api tersebut sebelum itu diseludup di dalam sebuah lori dari Thailand.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis yang diketuai Inspektor Mohd. Nor Ariedzuan Ariffin telah menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Makbah dan menahan janda terbabit serta tiga lagi lelaki di rumah berkenaan.
"Janda berusia 34 tahun itu ditahan reman selama dua hari berakhir esok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun bagi membantu siasatan manakala tiga lagi lelaki, dua daripadanya rakyat Thailand dibebaskan sebagai saksi setelah keterangan mereka diambil.
"Semasa ditahan, suspek (janda) merayu agar dilepaskan dengan memberi alasan duit jualan mercun dan bunga api yang diseludup itu untuk membantunya menanggung kos melahirkan anak kelimanya nanti," katanya kepada pemberita di IPD Dungun di sini hari ini.
Beliau memberitahu, hasil siasatan mendapati janda tersebut pertama kali melakukan perbuatan itu dengan menyeludup masuk sejumlah mercun dan bunga api ke negara ini.
Menurutnya, suspek yang merupakan seorang peniaga kecil-kecilan juga didapati membawa masuk lembu dari Thailand untuk dijual di daerah ini.
Katanya, janda terbabit, warganegara Golok, Thailand yang sudah lebih setahun menetap di Dungun telah kematian suaminya kira-kira empat bulan lalu dan anak mereka pula yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun ketika ini tinggal di Thailand.
Kuala Lumpur Time
0 Responses to Mercun: Janda ditahan
= Leave a Reply