Pasangan kekasih disamun, teman lelaki maut ditikam

⊆ 5:47 PM by Azam | ˜ 0 comments »

GEORGETOWN: Kegembiraan sepasang kekasih yang dipercayai baru pulang dari menonton wayang, bertukar tragedi apabila disamun dan salah seorang daripada mereka maut ditikam sekumpulan lelaki bertopeng di kawasan tempat letak kereta di Kompleks Prangin Mall, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika mangsa, seorang lelaki warga China, Lie Jie, 27, dan teman wanitanya warga tempatan berusia 23 tahun berada di tempat letak kereta di tingkat tujuh kompleks berkenaan selepas menonton wayang.

Kejadian menyebabkan lelaki itu mati manakala teman wanitanya terselamat dan beberapa barangan berharga milik mereka dirompak.

Mangsa dipercayai ditikam dan ditetak beberapa kali di seluruh badan menyebabkannya cedera parah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid, berkata dalam kejadian itu kedua-dua mangsa dipercayai disamun lima lelaki bersenjatakan parang.

Beliau berkata, dalam kejadian itu kedua-dua mangsa dipercayai dihampiri lima lelaki tidak dikenali sebelum berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek, berhampiran kereta jenis Perodua Kancil milik teman wanita mangsa.


0 Responses to Pasangan kekasih disamun, teman lelaki maut ditikam

= Leave a Reply