Penyamun ambil kesempatan

⊆ 6:29 AM by Azam | ˜ 0 comments »

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Fadly Samsudin
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kebimbangan penularan virus selesema babi (H1N1) kini diambil kesempatan oleh beberapa penyamun jalanan untuk menyamun dengan melindungi wajah mereka menggunakan topeng muka.

Dalam kejadian terbaru, seorang warga emas menjadi mangsa apabila diugut dua lelaki yang memakai topeng muka.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 68 tahun itu sedang berjalan kaki bersendirian di hadapan panggung wayang, di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, warga emas terbabit dihampiri dua lelaki yang dipercayai warga Bangladesh yang berpura-pura ingin bertanyakan arah jalan ke Pudu.

“Tiba-tiba seorang daripada suspek menghunus objek tajam ke perut mangsa lalu mengugut mangsa menyerahkan beg plastik dibawanya.

“Dalam keadaan panik itu, mangsa tidak berani melawan dan hanya menyerahkan empat beg plastik dibawanya kepada suspek,” katanya.

Beliau berkata, kejadian samun itu menyebabkan mangsa kehilangan pakaian, minyak wangi dan kasut yang baru dibelinya di kompleks bili-belah berhampiran.

“Mangsa yang kerugian RM3,500 kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di balai polis berhampiran,” katanya.

Dalam satu lagi kes berasingan, seorang anggota tentera yang baru selesai berbuka puasa berputih mata apabila keretanya dipecah masuk penjenayah selepas diletakkan di hadapan sebuah restoran di Jalan Raja Abdullah di sini.

Mangsa yang berusia 37 tahun itu meletakkan keretanya pada jam 6 petang dalam keadaan berkunci sebelum ke restoran berkenaan untuk berbuka puasa.

Bagaimanapun, ketika hendak pulang ke rumah dia mendapati cermin keretanya di sebelah belakang pecah akibat dihentam dengan objek keras bagi mengambil pelbagai barangan peribadi yang ditinggalkan di dalam kenderaan itu.


0 Responses to Penyamun ambil kesempatan

= Leave a Reply