Penyelia rumah kebajikan dakwa mencabul

⊆ 4:12 AM by Azam | ˜ 0 comments »

KLANG 18 Sept. - Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah pepatah yang sesuai bagi seorang penyelia sebuah rumah kebajikan apabila dia tergamak mencabul kehormatan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di bawah jagaannya.

K. Sebastian, 33, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Sebastian didakwa mencabul kehormatan kanak-kanak itu di dalam bilik tingkat atas di sebuah rumah kebajikan, Taman Gembira di sini pada setiap malam antara Disember 2008 hingga 29 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua dari hukuman itu jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin membantah sebarang jaminan diberikan memandangkan Sebastian bekerja di tempat mangsa tinggal.

Katanya, tertuduh juga dikhuatiri akan mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwa sekiranya dibebaskan dengan ikat jamin.

Majistret Liew Horng Bin memutuskan tertuduh tidak boleh dijamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 November ini.

Terdahulu, kira-kira 20 ahli keluarga kanak-kanak yang tinggal di rumah kebajikan tersebut hadir ke mahkamah untuk mengikuti prosiding.

Ketika Sebastian dibawa keluar dari lokap ke bilik bicara, tiba-tiba seorang wanita menarik beg plastik yang digunakan oleh tertuduh untuk menutup muka.

Wanita terbabit turut memukul kepala dan bahu Sebastian sehingga tertuduh terpaksa melindungi kepala dan mukanya dengan tangan.

Melihat kekecohan itu, seorang anggota polis segera menghalang dan memberi amaran akan menahan sesiapa sahaja yang bertindak memukul tertuduh.


0 Responses to Penyelia rumah kebajikan dakwa mencabul

= Leave a Reply