Pusat Latihan Utusan sekali lagi dipecah masuk

⊆ 3:09 AM by Azam | ˜ 0 comments »




penjenayah mengumpil dan menggergaji peti besi sebelum melarikan cek bernilai RM584,000 dan wang tunai RM8,000.

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Selepas kira-kira sebulan dipecah masuk, Pusat Latihan Utusan (PLU) di Jalan Chan Sow Lin di sini sekali lagi menjadi sasaran penjenayah apabila wang tunai dan cek berjumlah hampir RM600,000 dilarikan, awal pagi ini.

Kejadian disedari oleh seorang pekerja di pusat latihan itu yang datang ke pejabat berkenaan pada pukul 5.45 pagi ini.

Dalam kejadian pertama pada 27 Julai lalu, seorang kakitangan pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad cedera apabila diikat di mulut dan badan oleh tiga penjenayah. Sejumlah RM5,000 wang tunai berjaya dilarikan dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd. Hashim berkata, dalam kejadian pagi ini, pekerja terbabit hairan melihat pintu masuk utama di pejabatnya tidak berkunci sebaik sahaja tiba.

Beliau memberitahu, pekerja itu hanya menyedari kehilangan wang tunai dan beberapa keping cek apabila mendapati peti besi dalam pejabat itu terbuka kira-kira pukul 7.45 pagi, sebelum membuat laporan polis.

Katanya, ketika kejadian, terdapat seorang pengawal keselamatan yang bertugas di pintu masuk pusat latihan itu.

"Hasil pemeriksaan, kita dapati peti besi itu diumpil dan terdapat kesan gergaji untuk membuka peti besi terbabit.

"Suspek berjaya melarikan kira-kira RM8,000 wang tunai dan beberapa keping cek bernilai RM584,000 hasil kutipan daripada vendor serta ejen," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tambah Ahmad Amir, hasil pemeriksaan pihaknya, tiada kesan pecah masuk dikesan dan polis tidak menolak kemungkinan insiden itu didalangi orang dalam.

Katanya, polis percaya suspek masuk ke pejabat itu melalui pintu utama.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya turut tidak menemui sebarang jenis peralatan yang digunakan untuk mengumpil dan membuka peti besi terbabit.

Jelas beliau, pihaknya juga telah mengambil beberapa keterangan saksi insiden itu. Bagaimanapun, pusat latihan itu tidak dilengkapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

Beliau memberitahu, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


0 Responses to Pusat Latihan Utusan sekali lagi dipecah masuk

= Leave a Reply