Samun ibu saudara selepas solat Tarawih

⊆ 7:04 AM by Azam | ˜ 0 comments »

TELUK INTAN: Syaitan jadian mungkin gelaran terbaik untuk seorang remaja yang tergamak menyamun ibu saudaranya yang baru selesai menunaikan solat Tarawih.

Lebih tragis, suspek yang ditemani rakannya ketika melakukan jenayah itu, juga bertindak ganas dengan mengacukan pisau pada leher ibu saudaranya supaya tidak meronta dan membuat bising.

Dalam kejadian jam 10 malam pada Ahad lalu, mangsa, suri rumah berusia 63 tahun, disamun di rumahnya di Kampung Sungai Belukang, Rungkup, Bagan Datoh, dekat sini, sejurus selesai menunaikan solat Tarawih.

Ketika kejadian, mangsa yang berseorangan kerana suaminya tiada di rumah, dipeluk secara tiba-tiba dari belakang oleh seorang lelaki bertopeng bersenjatakan pisau.

Suspek kemudian bertindak agresif, meletakkan pisau pada leher mangsa dan mengugut akan mencederakannya jika meronta atau membuat bising sebelum mengikat kedua-dua tangannya dengan kain.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata selepas mengikat mangsa, suspek bersama rakannya iaitu warga Indonesia, menyelongkar rumah mangsa.

Beliau berkata, selepas beberapa minit menggeledah, mereka menyamun beg berisi kad pengenalan mangsa dan suaminya, satu gelang tangan emas, empat bentuk cincin emas, satu subang emas dan wang tunai RM150 sebelum melarikan diri.

“Selepas membuka ikatan di tangannya, mangsa keluar dari biliknya dan pada masa sama suaminya pulang.

“Suami mangsa yang terkejut dengan kejadian itu, membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Rungkup.

“Dalam laporannya, mangsa memberitahu dia cam suara dan wajah seorang suspek iaitu anak saudaranya sendiri,” katanya.

Bertindak atas laporan mangsa, sepasukan anggota polis menahan suspek pertama iaitu anak saudara mangsa berusia 19 tahun di rumahnya di Kampung Che Agus, Rungkup kira-kira jam 12.10 tengah malam kelmarin, beberapa jam selepas kejadian.

“Susulan penahanan suspek, polis berjaya menahan seorang warga Indonesia berusia 38 tahun pada hari sama dan ketika ditahan, lelaki itu sedang makan di sebuah warung makanan di Selekoh, Bagan Datoh,” katanya.


0 Responses to Samun ibu saudara selepas solat Tarawih

= Leave a Reply