Studio penyanyi kena pecah
⊆ 8:15 PM by Azam | ˜ 0 comments »SUNGAI BULOH: “Studio muzik inilah yang menjadi sumber pendapatan utama saya dan keluarga. Habis set karaoke dilarikan penyamun tak berhati perut, saya pasti terlepas rezeki selepas Aidilfitri kelak,” kata artis veteran, Samsudin Lamin, 70.
Studio muzik milik penyanyi popular era 50-an, 60-an dan 70-an di No 10, Jalan Pasar, Paya Jaras Lama di Sungai Buloh, di sini, itu dipecah masuk, Sabtu lalu.
Menurutnya, pada hari kejadian, dia yang tinggal di rumah PKNS Jalan 4, Paya Jaras berhampiran studio itu mahu menghantar beberapa barang ke studio itu.
“Saya hanya menyedari studio ini dipecahkan kira-kira jam 9 pagi selepas saya dan cucu melihat rantai dipasang pada pintu sudah dipotong, manakala pintu cermin dan jeriji rosak kerana diumpil.
“Pemeriksaan lanjut mendapati penjenayah melarikan lima set karaoke, pembesar suara dan mikrofon.
“Kecurian itu bukan saja menyebabkan saya kerugian RM5,000, malah pendapatan saya turut terjejas hampir RM2,000 sebulan kerana tidak dapat menunaikan permintaan atau jemputan majlis di sekitar kampung seperti majlis kenduri berikutan kehilangan peralatan berkenaan,” katanya.
Penyanyi bersuara lunak yang popular dengan lagu ‘Buah Hati Kekasih Orang’ itu menyatakan tahun ini tahun malang baginya sebab terlepas mencari rezeki sesudah Aidilfitri nanti kerana biasanya musim perayaan banyak jemputan diterima.
Bagaimanapun, dengan kecurian peralatan muzik itu, dia memberitahu mungkin terpaksa menolak tempahan perkhidmatan peralatan muzik dan nyanyian termasuk daripada yang mengadakan majlis rumah terbuka.
Menurutnya, studio yang dipecah masuk itu juga digunakan sebagai lokasi mengajar lapan penuntut muzik tradisional dengan dibayar RM25 sejam diberikan kerajaan Selangor melalui projek Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Kuala Lumpur Time
0 Responses to Studio penyanyi kena pecah
= Leave a Reply