Wang palsu hampir RM1j dirampas
⊆ 11:01 PM by Azam | ˜ 0 comments »KOTA KINABALU 3 Sept. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Sabah berjaya merampas pelbagai jenis mata wang palsu bernilai kira-kira RM942,000 selepas menahan tiga lelaki di Jalan Tagasan, Semporna, baru-baru ini.
Komander PGM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Abdul Manaf Othman berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 40 hingga 57 tahun itu ditahan pada pukul 3 petang, 12 Ogos lalu.
"Ketika ditahan, suspek cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord.
"Bagaimanapun, sepasukan anggota PGM yang diketuai seorang pegawai mengejar dan menahan suspek selepas kereta mereka terbabas di tepi jalan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas kereta yang dinaiki suspek dan menemui dua bilah parang yang disimpan dalam kereta berkenaan.
Beliau memberitahu, wang palsu pelbagai negara itu termasuk dari Malaysia dan Amerika Syarikat. Ia dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.
Bagaimanapun, katanya, polis masih menyiasat bagi mengenal pasti sumber wang palsu tersebut selain terdapat penglibatan pihak lain.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menghindarkan diri daripada kegiatan berkenaan.
Katanya, mana-mana individu yang ditawarkan wang palsu hendaklah melaporkan segera kepada pihak polis.
Kuala Lumpur Time
0 Responses to Wang palsu hampir RM1j dirampas
= Leave a Reply