⊆ 2:36 AM by Azam | ˜ 0 comments »


Wanita 73 tahun tuntut cerai mati ditikam suami


POLIS menahan warga emas yang disyaki menikam pasangannya (di bawah payung) di Kampung Kuala Sungai, semalam.

ALOR SETAR: Akibat terlalu marah apabila isterinya berkeras menuntut cerai, seorang lelaki berusia 80-an dikatakan nekad membunuh pasangannya itu di Kampung Kuala Sungai dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, mangsa, Zabedah Ali, 73, dikatakan ditikam di perut dan sempat melarikan diri sebelum rebah serta meninggal dunia di halaman rumahnya.

Difahamkan, lelaki itu adalah suami ke-11 mangsa dan pasangan berkenaan dikatakan sudah hampir dua bulan tidak tinggal sebumbung selepas setahun mendirikan rumah tangga.

Bapa saudara mangsa, Mustafa Ahmad, 80, berkata lelaki itu yang tinggal di Kuala Kedah mengunjungi isterinya kira-kira jam 12.30 tengah hari untuk memujuk Zabedah supaya membatalkan hasratnya untuk bercerai.

"Bagaimanapun, Zabedah tetap mahu berpisah menyebabkan berlaku pertengkaran dan suaminya tiba-tiba mengeluarkan pisau yang diselit pada kain pelikatnya sebelum menikam isterinya sambil mengajak mangsa mati bersamanya," katanya.

Mustafa berkata, anak tiri mangsa yang menyaksikan kejadian itu sempat menghalang lelaki terbabit daripada terus menyerang Zabedah.

"Lelaki itu kemudian cuba melarikan diri, tetapi dapat ditahan anak tiri mangsa," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, ketika dihubungi mengesahkan lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.


0 Responses to

= Leave a Reply