Gadis dibelasah, 'diculik' 11 jam

⊆ 3:04 AM by Azam | ˜ 0 comments »

Oleh SHAMARUDDIN SAIDIN
pengarang@utusan.com.my


Nor menunjukkan salinan laporan polis dalam keadaan matanya yang masih lebam, di Seremban, semalam.

SEREMBAN 21 Feb. - Akibat kecewa cintanya ditolak, seorang lelaki yang bekerja sebagai pembantu pejabat sanggup membelasah kerani wanita di tempat kerjanya selain melarikan mangsa selama 11 jam dari rumah sewanya di Paroi Jaya, di sini baru-baru ini.

Kejadian yang berlaku pada 16 Februari lalu itu mengakibatkan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Nor, 21, lebam di bahagian muka dan kepala selain terpaksa menerima rawatan di hospital.

Mangsa mendakwa, dia turut mengalami trauma selepas kejadian itu apabila dibelasah tanpa henti oleh lelaki itu, sepanjang dibawa menaiki kereta dari rumah sewanya ke kampung pembantu pejabat berkenaan di Tampin.

Nor yang bekerja sebagai kerani di sebuah agensi kerajaan di sini menceritakan pengalaman ngeri itu ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, insiden tersebut bermula apabila lelaki itu yang berusia 27 tahun datang ke rumah sewanya di Paroi Jaya kira-kira pukul 11.30 malam pada 16 Februari lalu menaiki sebuah kereta Proton Wira.

"Saya keluar untuk berjumpa dengannya yang ketika itu berdiri di luar pintu pagar. Tiba-tiba, dia terus menumbuk muka saya sehingga menyebabkan saya terjatuh.

"Selepas itu, saya cuba bangun dan sambil menangis bertanyakan kenapa dia memukul saya," katanya.

Menurut Nor, lelaki itu terus memarahinya kerana mendakwa dia telah menolak cinta lelaki itu sambil terus menumbuk mukanya beberapa kali lagi.

Dia berkata, dalam keadaan muka berlumuran darah, lelaki itu kemudian menarik dan menolaknya masuk ke dalam kereta sebelum dipaksa duduk di tempat letak kaki sebelah pemandu.

"Lelaki itu terus memecut keretanya ke lokasi yang saya tidak ketahui dan terus memarahi saya kerana menolak cintanya.

"Sambil menangis, saya merayu supaya dilepaskan tetapi tanpa sebarang belas kasihan lelaki itu terus menumbuk kepala saya bertubi-tubi sehingga tangan kanannya patah," ujarnya.

Kerana panik melihat mangsa yang semakin tidak bermaya, suspek kemudian membawa mangsa ke rumah keluarganya di Tampin kira-kira 80 kilometer dari sini.

Tambah Nor, apabila sampai ke rumah keluarga lelaki itu, suspek mengugut supaya dia memberitahu ibunya bahawa kecederaan yang dialami itu akibat kemalangan motosikal.

"Lelaki itu kemudian meminta saya masuk ke dalam sebuah bilik dan menyuruh saya berehat sementara dia tidur di ruang tamu.

"Pada pagi keesokan, ketika lelaki itu pergi ke hospital untuk merawat tangannya yang patah, saya terus melarikan diri dari rumah berkenaan," ujarnya.

Menurutnya, dia terpaksa bersembunyi di sebalik tembok yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah itu sebelum menghubungi rakannya untuk meminta bantuan.

"Kira-kira sejam kemudian, rakan saya datang menyelamatkan saya dan terus ke balai polis untuk membuat laporan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin yang mengesahkan kejadian itu memberitahu bahawa suspek sudah ditahan kelmarin.

Menurutnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.


0 Responses to Gadis dibelasah, 'diculik' 11 jam

= Leave a Reply