Ahli geng curi kereta mewah ditembak mati

⊆ 12:28 AM by Azam | ˜ 0 comments »




Anggota polis memeriksa kereta Toyota Camry dinaiki seorang lelaki (gambar kecil) dipercayai ahli geng samun kereta mewah yang mati ditembak di belakang Hotel PJ Hilton, di Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 16 Okt. - Seorang ahli geng curi kereta mewah terbesar sekitar Lembah Klang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di belakang Hotel PJ Hilton di Jalan Persiaran Barat di sini tengah malam tadi.

Suspek, Chen Khein Hou, 30, dipercayai antara saki baki geng curi kereta mewah yang tumpas dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Lembah Klang sejak tahun lalu.

Dia ditembak kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi setelah cuba melarikan diri dari kepungan polis dan bertindak agresif melepaskan dua das tembakan ke arah sepasukan anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Hasnan Hassan berkata, polis telah menjalankan risikan terhadap kes curi kenderaan mewah yang dikesan disembunyikan di sebuah kondominium di Taman Desa, Jalan Klang Lama.

"Dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang semalam, polis menjumpai sebuah Mercedes-Benz, sebuah kereta Toyota Alphard dan sebuah kereta Toyota Camry yang dilaporkan hilang, di premis terbabit.

"Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat ketika serbuan itu," katanya ketika ditemui di lokasi suspek ditembak mati di sini awal pagi ini.

Hasnan memberitahu, kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, suspek dikesan memandu sebuah kereta Toyota Camry berwarna putih dengan nombor pendaftaran WRR 9680 di hadapan sebuah restoran di bawah Faber Tower, Taman Desa.

Katanya, ketika polis hendak melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, tiba-tiba suspek bertindak melanggar berulang kali kenderaan polis menyebabkan seorang pegawai keluar melepaskan tembakan amaran namun suspek bertindak memecut sebelum melarikan diri ke arah Petaling Jaya.

"Setelah dikejar, kenderaan suspek terbabas di Jalan Persiaran Barat belakang Hotel PJ Hilton.

"Pihak polis mengepung kenderaan suspek. Dia bagaimanapun bertindak agresif melepaskan dua das tembakan dan mengenai pintu hadapan sebelah penumpang kereta polis. Polis terpaksa membalas tembakan dan mengenai suspek," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek itu menemui sepucuk pistol revolver 0.38 mm, tiga peket dadah jenis syabu dan empat kunci kereta mewah.

Jelas Hasnan, siasatan mendapati suspek pernah terlibat dalam lima kes berkaitan dadah dan satu kes samun kenderaan yang dilaporkan hilang di Sungai Senam pada 13 Ogos lalu.

"Polis kini sedang menjalankan siasatan dan memburu saki baki kumpulan penjenayah itu," katanya.
Add to Google


0 Responses to Ahli geng curi kereta mewah ditembak mati

= Leave a Reply