Maut ditikam ketika halang komputer riba dicuri

⊆ 12:31 AM by Azam | ˜ 0 comments »

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Demi mempertahankan komputer riba miliknya yang cuba dicuri dua penjenayah, seorang pekerja insurans maut akibat ditikam berdekatan sebuah restoran makanan segera di Bandar Utama dekat sini awal pagi ini.

Mangsa, Lee Sui Leong, 30, mati ketika dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya setelah cedera parah akibat ditikam.

Ketika kejadian pukul 4.30 pagi itu, mangsa dikatakan sedang melayari Internet di dalam restoran terbabit yang beroperasi 24 jam.

Menurut jurucakap polis, dia kemudian duduk di ruang luar restoran itu untuk memudahkannya mengecas komputer riba tersebut.

Katanya, ketika asyik melayari Internet, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an muncul dan melarikan komputer riba mangsa.

"Mangsa kemudian mengejar suspek namun seorang lagi lelaki dipercayai rakan suspek muncul dan menikam Sui Leong dari arah belakang menggunakan objek tajam.

"Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri bersama komputer riba milik mangsa," katanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu bagi mengenal pasti suspek.


0 Responses to Maut ditikam ketika halang komputer riba dicuri

= Leave a Reply