Akibat cemburu, pasangan kekasih ditikam

⊆ 7:57 AM by Azam | ˜ 0 comments »

KUANTAN 7 Okt. - Seorang lelaki yang dipercayai cemburu terhadap bekas teman wanitanya yang sudah memiliki teman baru bertindak menyerang dan menikam pasangan itu di sebuah hotel di Jalan Haji Junid di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, suspek yang berusia 26 tahun tidak dapat menerima hakikat bahawa bekas teman wanitanya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain lalu bertindak sedemikian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Pemangku Supritendan Zulkifli Taha berkata, kejadian berlaku ketika suspek terserempak dengan bekas teman wanitanya dan lelaki terbabit di hotel berkenaan.

Kata beliau, berlaku pertengkaran antara suspek dengan pasangan kekasih itu di salah sebuah bilik di hotel tersebut.

"Polis percaya suspek cemburu dengan bekas kekasihnya yang berusia 20 tahun menjalinkan hubungan dengan lelaki lain lalu bertindak menyerang mereka di bilik hotel berkenaan.

"Lelaki itu dikatakan mengambil sebilah pisau lalu menikam pasangan kekasih terbabit di dada dan belakang badan mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berikutan kejadian itu, menurut Zulkifli, pasangan tersebut dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini oleh pekerja hotel berkenaan untuk mendapatkan rawatan.

"Teman lelaki wanita berkenaan membuat laporan polis pada pukul 1 pagi ini selepas mendapatkan rawatan," katanya.

Zulkifli memberitahu, polis kemudian menahan suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.


0 Responses to Akibat cemburu, pasangan kekasih ditikam

= Leave a Reply