Penoreh wanita maut ditikam

⊆ 8:53 AM by Azam | ˜ 0 comments »

Oleh AZMAN MD NOOR
utusankedah@utusan.com.my

BALING 13 Okt. - Seorang penoreh getah wanita ditemui mati dengan kesan tikaman di leher di sebatang anak sungai di Kampung Seniyek, Kupang dekat sini pagi ini.

Mayat U Muan Juin, 44, yang berasal dari Taman Bemban, Kupang itu ditemui seorang penoreh getah yang sedang menoreh di kebun kampung itu.

Ketika ditemui, mayat mangsa dalam keadaan terlungkup dan terdapat satu kesan tikaman pada lehernya.

Penoreh terbabit, Wan Rosli Wan Hussin, 46, kemudian terus menghubungi polis memaklumkan mengenai penemuan mayat itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, mangsa meninggalkan suami dan dua orang anak.

Katanya, sebelum kejadian, dia dipercayai keluar dari rumahnya seorang diri kira-kira pukul 10 malam dengan membawa sebuah beg.

''Mangsa juga dikatakan tidak menjawab panggilan telefon anaknya selepas keluar dari rumah. Kita percaya mangsa ditikam dengan senjata tajam sebelum mayatnya dicampak ke dalam anak sungai berkenaan,'' katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Menurut Mohd. Zakaria, berikutan penemuan mayat wanita itu, polis menahan seorang suspek berusia 41 tahun dipercayai teman lelakinya dan merupakan penduduk tempatan.

Katanya, kereta milik mangsa turut ditemui berdekatan sebuah kilang getah di Kuala Pegang kira-kira 20 kilometer dari tempat mayatnya ditemui.

''Lelaki yang ditahan itu bekerja di sebuah kilang kayu tidak jauh dari tempat kereta mangsa ditemui.

''Polis percaya dengan tertangkapnya suspek, kes ini dapat diselesaikan dengan segera,'' katanya.


0 Responses to Penoreh wanita maut ditikam

= Leave a Reply