Seludup 2kg kokain guna jaket

⊆ 8:54 AM by Azam | ˜ 0 comments »




Oleh NOR SEDEK ISMAIL
utusanselangor@utusan.com.my


NORDIN Kadir menunjukkan jaket wanita Filipina yang diserapkan dengan dua kilogram kokain cecair pada sidang akhbar di IPK Selangor, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 13 Okt. - Seorang wanita Filipina yang sarat mengandung tujuh bulan menjadi mangsa terbaru sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Dia diberkas bersama dua kilogram kokain cecair bernilai RM460,000 sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 9 Oktober lalu.

Ketika ditahan pada pukul 9 pagi, suspek berusia 24 tahun itu yang dipercayai menjadi penghantar kepada rangkaian sindiket terbabit baru tiba dari Buenos Aires, Argentina pada pukul 6.30 pagi dan dalam perjalanan ke Ho Chi Minh City, Vietnam, tetapi transit di KLIA.

Modus operandi digunakan sindiket tersebut adalah menyerapkan kokain cecair itu dalam lapisan kapas jaket musim sejuk yang disimpan dalam beg galas suspek.

Jika berjaya tiba di destinasi terakhirnya, suspek bakal mendapat ganjaran AS$$2,400 (RM8,171).

Dadah itu pula akan diasing menggunakan sejenis bahan kimia tanpa menjejaskan kuantitinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan ditahan di bangunan satelit KLIA.

"Ketika itu suspek sepatutnya berlepas ke Ho Chi Minh pada pukul 9.05 pagi tetapi telah ditahan dan dibawa ke pejabat narkotik di sini untuk pemeriksaan.

"Jaket dibawanya menimbulkan curiga kerana berada dalam keadaan basah dan hasil analisis ia disahkan mengandungi cecair kokain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis sambutan Aidilfitri dan Deepavali JSJN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, gerak-geri suspek dikesan oleh orang awam yang kemudian memaklumkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Narkotik KLIA.

Nordin Kadir memberitahu, siasatan mendapati suspek sebelum ini pernah transit sebanyak dua kali di KLIA iaitu pada Mac dan Ogos lalu.

"Kita turut merampas wang tunai AS$$419 (RM1,426), wang Thailand Baht840 (RM85) sejumlah kecil ringgit malaysia serta peso dari suspek dan tiada rekod menunjukkan dia sudah berkahwin," jelasnya.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum gantung mandatori jika disabitkan kesalahan.


0 Responses to Seludup 2kg kokain guna jaket

= Leave a Reply