Bapa haruan kena 30 tahun, 20 sebat

⊆ 11:27 PM by Azam | ˜ 0 comments »

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

KOTA BHARU: “Nak fikirkan pun nak wat guano (buat macam mana), buat dah buat dah...,” begitu reaksi spontan seorang warga emas ketika ditanya Hakim Mahkamah Sesyen di sini, semalam, sebelum disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun serta 20 sebatan kerana merogol anak kandungnya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) sehingga hamil, Februari lalu.

Sebelum menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh berusia 58 tahun itu, Hakim Zainal L Salleh bertanya: “Nak tanya sa (satu) soalan. Sebelum buat (rogol), kamu tidak fikir gapo (apa-apa) ke?” sebelum lelaki berkenaan mengeluarkan jawapan ringkas itu.

Mendengarkan jawapan tertuduh, Zainal kemudian menambah: “Nanti bila kamu di penjara, kamu fikir lama sikit deh.”

Zainal berkata demikian sejurus menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, seorang buruh selepas mengaku bersalah dua tuduhan merogol anak perempuannya berusia 20 tahun di sebuah rumah di Pasir Puteh.

Beliau juga memerintahkan hukuman itu berjalan berasingan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman bagi pertuduhan pertama.

“Sebenarnya tidak ada perkataan yang boleh saya gunakan untuk menggambarkan betapa hina dan jijik perbuatan kamu. Ini baru hukuman dunia tetapi ada satu lagi hukuman menanti kamu di akhirat.

“Adalah menjadi harapan saya supaya tempoh kamu menjalani hukuman ini akan dapat mengubah diri kamu dan mengenang kembali kesilapan dilakukan. Sebagai orang Islam, kamu ada masa lagi bertaubat,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol anak perempuannya di atas katil di ruang tamu rumah berkenaan, kira-kira jam 9 hingga 9.20 malam, 8 Februari lalu dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan.

Bagi tuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa merogol anak kandungnya itu kali kedua di dapur rumah mereka pada jam 12 hingga 12.30 tengah hari, 9 Februari lalu menyebabkan dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan.

Zainal berkata, pengakuan bersalah bukan menjadi faktor untuk meringankan hukuman kerana ia tidak mencukupi untuk membolehkan tertuduh menjalani hukuman ringan, apatah lagi melakukan kesalahan rogol.

“Memandangkan perbuatan yang kamu lakukan adalah satu kesalahan hina dan jijik yang tidak boleh dimaafkan sesiapa saja, jadi hukuman dijatuhkan untuk memberi pengajaran.

“Ia untuk memberi pengajaran bukan saja kepada diri kamu, tetapi juga menjadi peringatan kepada anggota masyarakat di luar sana supaya tidak melakukan perbuatan sama,” katanya.

Beliau turut mengambil kira hujahan kesalahan serius dilakukan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nooriah Osman ketika membacakan fakta kes, manakala tertuduh yang memakai kemeja merah tidak diwakili peguam.


0 Responses to Bapa haruan kena 30 tahun, 20 sebat

= Leave a Reply