Empat remaja tumpas

⊆ 8:10 PM by Azam | ˜ 0 comments »

AMPANG: Usia mereka baru belasan tahun dan masih menuntut di bangku sekolah. Namun, remaja terbabit terbabit dengan kegiatan mencuri motosikal untuk mencari wang saku tambahan.

Bagaimanapun, kegiatan empat remaja berusia 16 tahun itu tumpas apabila mereka antara 127 individu yang ditahan polis sepanjang Ops Bersepadu yang diadakan di sekitar Ampang sejak seminggu lalu.

Difahamkan, kumpulan remaja itu mencari pendapatan dengan mencuri dan menjual komponen motosikal kepada pihak tertentu dengan harga murah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hasan, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan bilangan kes dilakukan mereka dan lokasi yang dijadikan sasaran.

Menurut Abd Jalil, sepanjang operasi terbabit dilakukan polis bertumpu di kawasan yang menjadi sasaran penjenayah dan 127 orang yang ditahan itu melakukan pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan adalah samun bersenjata, ragut, pemerasan, curi motosikal dan kereta, curi dalam bangunan, dadah, judi dan juga orang dikehendaki.

Katanya, 127 orang yang ditahan itu membabitkan 113 lelaki, 10 wanita dan empat pelajar.

“Ujian air kencing turut dijalankan dan seramai 86 individu iaitu 76 lelaki dan 10 wanita didapati positif dadah,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, polis merampas dadah jenis ecstacy berjumlah 50 biji, ketamin seberat 1.2 gram, 19 pil Eramin 5, lapan pek syabu dan heroin seberat 16.32 gram dalam operasi terbabit.

“Turut dirampas ialah enam motosikal, sebuah kereta Proton Waja, sebuah lori, beberapa peralatan elektrik, telefon bimbit, 11 komputer dan senjata seperti dua parang, kayu besbol, penukul besi dan pisau rambo,” katanya.

Abd Jalil berkata, senjata api palsu untuk melakukan rompakan turut ditemui.

Katanya, perompak gemar menggunakan pistol mainan yang mirip pistol asli ketika melakukan rompakan, terutama di restoran makanan segera dan stesen minyak.

“Alat renjatan elektrik turut digunakan untuk membuatkan mangsa pengsan,” katanya sambil menegaskan, menyimpan pistol tiruan dan alat renjatan elektrik adalah salah di sisi undang-undang.


0 Responses to Empat remaja tumpas

= Leave a Reply