Lelaki serang polis, mati ditembak

⊆ 4:34 AM by Azam | ˜ 0 comments »

LAHAD DATU 2 Okt. - Seorang suspek kes samun dan pecah rumah, mati ditembak setelah cuba menyerang anggota polis dengan parang dan pisau kecil di Kampung Pisang, dekat sini semalam.

Kejadian berlaku pada pukul 5 petang ketika anggota berkenaan bersama dua lagi rakannya sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supritendan Md. Suhaimi Ab. Rahman berkata, polis kemudian terserempak dengan suspek yang berusia 30 tahun bersama seorang rakannya dalam keadaan mencurigakan.

"Bagaimanapun sebaik menyedari kehadiran polis, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri. Polis yang mengejar kedua-duanya berjaya mengepung mereka.

"Suspek kemudian bertindak ganas dan cuba melibas anggota polis dengan parang dan pisau kecil.

"Keadaan itu menyebabkan polis terpaksa menembak suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu hari ini.

Beliau berkata, rakan suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri dan kini sedang diburu.

Katanya, mayat suspek telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat.

Menurutnya, ekoran kejadian itu seorang anggota polis mengalami kecederaan tetapi berada dalam keadaan stabil.


0 Responses to Lelaki serang polis, mati ditembak

= Leave a Reply